Jumaat, 17 Oktober 2008

JENAYAH CURI : PERBANDINGAN UNDANG-UNDANG SIVIL DAN SYARIAH

PERBANDINGAN CIRI-CIRI JENAYAH CURI ANTARA UNDANG-UNDANG ISLAM DENGAN UNDANG-UNDANG SIVIL

Ciri-ciri Jenayah Curi di dalam Undang-undang Islam.

Menurut undang-undang islam, ada beberapa ciri yang boleh mensabitkan seseorang dengan jenayah curi. Ciri-ciri ini terkandung di dalam 2 komponen penting iaitu pencuri dan barang yang dicuri.

Syarat bagi pencuri. Bagi menghadkan seseorang pencuri itu hendaklah mempunyai beberapa syarat. Antaranya iailah:

· Pencuri itu hendaklah sempurna akal. Maka tidak wajib memotong tangan orang gila sekiranya dia mencuri
· Hendaklah pencuri itu mencapai umur baligh. Maka tidak wajib had bagi kanak-kanak sekiranya kanak-kanak tersebut mencuri.
· Hendaklah dilakukan perbuatan itu dengan pilihan hatinya sendiri. Maka tidak dikenakan had agi pencuri yang dipaksa.
· Hendaklah mereka yang mencuri itu terikat dengan hukum-hukum Islam. Maka tidak wajib had sekiranya kafir harbi melakukan jenayah tersebut.
· Pencuri itu hendaklah bukan asalnya iaitu bapa atau daktuk. Maka tidak wajid di had sekiranya bapa mencuri harta anaknya ataupun datuk mencuri harta cucunya.
· Hendaklah pencuri itu mengetahui pengharaman mencuri. Maka jika dia tidak mengetahui hukum haram mencuri maka tidak wajib di had keatasnya.(Haji Abdul Razak Bin Haji Ahmad. 1997:518)

Syarat bagi harta yang dicuri. Harta yang dicuri juga hendaklah memenuhi syarat-syarat tersebut:

· Hendaklah jenis yang bernilai. Maka jika dia mencuri anjing, arak dan sebagainya yang tidak diiktifar harta oleh syarak, maka tidak dikenakan had.
· Harta yang dicuri itu cukup nisabnya. Tentang cukup nisabnya itu ada khilaf dikalangan ulamak. Mengikut Imam Hanifah, kadar nisab itu ialah satu dinar atau sepuluh dirham. Sementara jumhur ulama’ pula berpendapat, kadar nisab mencuri itu ialah tiga dirham atau barang-barang yang senilai dengannya.
· Harta yang dicuri itu terletak di tempat simpanan. Maka tidak boleh dikenakan had kepada barang yang tidak disimpan.
· Harta yang dicuri itu hendaklah harta yang tahan disimpan dan tidak cepat rosak. Berkata Abu Hanifah, tidak wajib potong tangan kepada pesalah yang mencuri barang yang cepat rosak walaupun cukup nisab harga barang itu seperti mencuri anggur, bawang dan sebagainya. Ini berdasarkan hadith Rasullullah yang diriwayatkan oleh rafi’ bermaksud:
” aku mendengar Rasulullah bersabda: tidak wajib potong tangan pencuri yang mencuri buah ditangkai dan juga buah dimayang”
Sementara jumhur ulamak pula berpendapat, wajib memotong tangan bagi pencuri yang melakukan kesalahan mencuri setiap barang yang bernilai yang harus dijual beli samaada makanan, binatang ternakkan, batu dan sebagainya.
· Hendaklah barang yang dicuri itu pada asalnya bukanlah suatu yang diharuskan. Maka jika barang itu asalnya adalah harus seperti burung, buluh, kayu api, binatang pemburuan, ikan dan sebagainya, ada khilaf ulama’.Hanafi berpendapat tidak wajib dipotong tangan kerana ianya pada asalnya adalah diharuskan bagi sesiapa sahaja untuk mengambilnya. Sementara bagi jumhur ulama’ wajib dipotong tangan walaupun barang itu diharuskan ataupun diharuskan
· Hendaklah pencuri ini berniat hendak mencuri. .(Haji Abdul Razak Bin Haji Ahmad. 1997:520)


Ciri-ciri Jenayah Curi di dalam Undang-undang Sivil.

Jenayah mencuri menurut undang-undang sivil terdapat lima ciri utama iaitu :

1. Niat curang (dishonest intention) untuk mengambil harta.

Di dalam Kanun Keseksaan, niat curang adalah satu unsur mesti di dalam kesalahan mencuri, iaitu niat hendak mengambil dengan curang. Maksud dengan curang adalah seperti yang diterangkan dalam seksyen 24 Kanun Keseksaan iaitu:
“Barang siapa yang melakukan sesuatu perkara dengan niat hendak menyebabkan kedapatan salah kepada sesorang, atau kehilangan salah kepada seseorang lain, adalah dikatakan melakukan perkara itu dengan curang”.
Unsur niat curang ini mestilah wujud ketika harta itu mula digerakkan oleh penjenayah (Hashim Mehat, 1977: 227).

2. Harta itu mestilah boleh digerakkan.

Unsur kedua ini dihuraikan di dalam seksyen 22 Kanun Keseksaan seperti:
“Perkataan harta yang boleh dialih dalah dimaksudkan termasuk harta zahir dari segala rupa, kecuali tanah dan benda-benda yang bercampur kepada bumi atau yang dipasang dengan kekalnya kepada apa-apa benda yang bercantum kepada bumi” (Hashim Mehat, 1977: 236).

3. Harta itu diambil keluar daripada milik (take out of the possession) orang lain.

Kanun Keseksaan memerlukan harta yang dicuri itu, hendaklah dikeluarkan daripada milik orang yang memilikinya. Istilah ‘milik’ tidak diterangkan secara khas di dalam Kanun Kesiksaan, tetapi seksyen 27 Kanun Keseksaan dapat digunakan sebagai panduan iatu:
“Apabila harta ada dalam milik isteri, kerani atau orang gaji seseorang, bagi pihak orang itu, maka harta itu adalah dalam milik orang itu dalam erti Kanun ini” (Hashim Mehat, 1977: 251).

4. Harta itu diambil tanpa kerelaan orang itu (orang yang memilikinya).

Barang yang dicuri itu hendaklah diambil tanpa kerelaan orang yang memiliki barang itu (Hashim Mehat, 1977: 261).

5. Menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya.

Mesti wujud satu bentuk pergerakkan (some removal) terhadap harta itu untuk dikatakan ‘mengambilnya’. Maksud ‘menggerakkan’ tidak semestinya menggerakkan harta itu keluar jauh dari pencapaian pemiliknya tetapi sudah memadai dengan tujuan hendak mengambilnya. Ia sudah boleh disabitkan kesalahan mencuri di dalam undang-undang jenayah moden (Hashim Mehat, 1977: 267).

Kesimpulannya, setiap ciri kesalahan mencuri yang disebutkan mestilah dibuktikan oleh pendakwa sehingga tidak ada keraguan yang munasabah, sebelum seseorang itu disabitkan bersalah di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan;

“Barangsiapa melakukan kesalahan mencuri dalam mana-mana bangunan, khemah atau perahu yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia, atau untuk simpanan harta benda, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan bolehlah juga dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat” (Hashim Mehat, 1977: 223).

PERBANDINGAN HUKUM DAN CARA PELAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH CURI ANTARA UNDANG-UNDANG ISLAM DENGAN UNDANG-UNDANG SIVIL.

Di dalam al-Quran terdapat ayat yang mengaharamkan mencuri antaranya adalah surah al-Maidah ayat ke 38-39

Ertinya : “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah, dan Allah maha perkasa lagi bijaksana. Maka barangsiapa bertaubat (diantara pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah maha pengampub lagi maha penyanyang”

Mengikut nas-nas al-Quran dan hadith syarif telahpun dinyatakan potong tangan diwajibkan ke atas pencuri. Samaada lelaki ataupun perempuan apabila nyata kesalahannya. Pembalasan ini tidak harus diberi keampunan oleh mangsa curi sendiri ataupun pihak pemerintah, begitu juga ia tidak harus ditukar ganti dgn pembalasan yang lain atau ditangguhkan pembalasana. Ini adalah mengikut mazhaz al-arba’ah.

Para ulama’ bersepakat menyatakan bahawa apabila tangan pencuri telah dipotong dan barang yang dicuri masih ada,wajib dikembalikan barang itu kepada tuannya. Tetapi jika barang itu sudah rosak, ulamak berselisih pendapat mengenainya. Menurut Hanafi, pencuri yang telah dipotong tangannya tidak wajib lagi mengantikan barang yang rosak ditangannya itu atau membayar harganya.

Manakala menurut Maliki pula, jika pencuri itu orang kaya semasa menjalani hukuman potong tangan, wajib memotong tangan dan membayar ganti rugi barang yang rosak itu. Tetpi jika dia orang miskin, maka tidak wajib menggantikan barang yang telah rosak itu. Manakala menurut Syafie dan Hambali pula hendaklah memotong tangan bersama membayar ganti rugi barang yang telah rosak samaada orang itu miskin atau kaya.

Apabila berulang kali mencuri, para ulamak bersepakat menyatakan wajib memotong tangan kanan pada mencuri kali pertama. Apabila mencuri kali kedua, hendaklah dipotong kaki kiri kecuali Hambali berkata tidak ada had lagi selepas kali ke dua. Pencuri itu hendaklah membayar harga harta barang yang di curi dan dikenakan ta’zir serta ditahan sehingga dia beertaubat.

Sementara menurut Maliki dan Syafie pula, jika sekiranya pencuri mencuri kali ke tiga maka dipotong tangan kiri dan jika mencuri kali keempat maka hendaklah dipotong kaki kanan pula. Kemudian di ta’zirkan jika mencuri lagi. .(Haji Abdul Razak Bin Haji Ahmad. 1997:518)


Pemotongan tangan keatas seorang yang telah sabit melakukan jenayah curi oleh mahkamah hendaklah dilakukan dengan cara yang dianggap paling mudah dan sesuai. Menurut catatan Ibn Qudamah, orang yang akan menjalankan hukuman potong tangan hendakalah :

· Diletakkan dalam keadaan duduk
· Diikat badannya agar dia tidak dapat bergerak yang boleh membahayakan dirinya
· Diikat tangannya dengan meninggalkan bahagian yang hendak dipotong iaitu pergelangan tangan
· Diletakkan pisau yang tajam pada pergelangan tangan itu. Kemudian, dikejutkan pisau itu dengan kuat sehingga dapat memotong tangan itu serta merta (sekali gus) (Sabri Abdul Rahman. 1987:134)

Manakala seksaan bagi kesalahan mencuri mengikut undang-undang jenayah Malaysia pula ialah seperti yang tersebut di dalam Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu:

”Barangsiapa melakukan kesalahan mencuri hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 3 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian bolehlah dikenakan penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu. ”

Seksyen 380 Kanun Keseksaan pula menyebut:

”Barangsiapa melakukan kesalahan mencuri dalam mana-mana bangunan, khemah atau perahu yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia, atau untuk simpanan harta benda, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat” (Mohd. Reduan Aslie, t.t.: 137)

Seksaan bagi pecah rumah dan curi pula Seksyen 454 Kanun Keseksaan menyebut:

”Barangsiapa melakukan pencerobohan dengan bersembunyi, atau melakukan pecah rumah, bagi maksud melakukan sesuatu kesalahan yang boleh diseksa dengan penjara, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 3 tahun dan bolehlah juga didenda. Jika kesalahannya ialah mencuri, maka tempoh penjara bolehlah dilanjutkan sehingga 10 tahun.” (Mohd. Reduan Aslie, t.t.: 149-150)
Dari apa yang diketahui, ramai yang menyatakan undang-undang ciptaan adalah undang-undang yang sempurna. Tapi jika dilihat dengan lebih mendalam, undang-undang Islam lebih sempurna dan menyeluruh.

Tetapi bila berbica tentang undang-undang Islam maka ramailah akan mengatakan undang-undang Islam adalah zalim, tetapi mereka sendiri tidak melihat apa yang disyariatkan oleh Islam itu adalah suatu yang amat tepat sekali.

Jika dilihat negara yang mengamalkan undang-undang hudud seperti Arab Saudi, rakyat di sana berasa aman dan tidak ada sedikit pun dihati mereka akan adanya kecurian. Dapat dilihat kedai-kedai dibiarkan tanpa dijaga atau ditutup jika tuannya tiada kerana mereka tidak perlu khuatir kerana tidak ada yang akan berani melakukan jenayah curi ini.
RUJUKAN
Abdul Qadir Audah,1989. Hukum Mencuri dan Potong Tangan Dalam Undang-undang Islam, Marwilis Publisher & Distributors Sdn. Bhd., Shah Alam, Ter. Zainal Azam Abd. Rahman.

Haji Abdul Razak Haji Ahmad. 1997. Fiqh STPM. Kuala Lumpur

Mohd. Reduan Aslie, Jenayah Di Malaysia, AMK Interaksi Sdn. Bhd., t.t.p., t.t.

Paizah Haji Ismail, 2003 Undang-undang Jenayah Islam, Tradisi Ilmu Sdn. Bhd., Selangor, Cetakan ke-4.

Sabri Abdul Rahman. 1987. Jenayah Curi dan Rompak Kajian Perbandingan Dalam 4 Mazhab Fiqh Islam. Bangi

2 ulasan:

baiti berkata...

jika nk dibandingkan undang2 Allah dan undang2 manusia, sememangnya kita akan kalah. Allah yg menciptakan manusia. Dia yg selayaknya memberi hukuman kepada hambanya. Allah maha mengetahui segala yg Dia tetapkan dan ketetapanNya mengandungi hikmah.

duchess putax berkata...

assalamualaikum wbt
jadi macam manalah if orang yang mencuri tuh bukan islam dan merupakan orang terdekat yakni roomate si mangsa? amaun yang bukan sedikit pula tu. bagaimana mahu cara terbaik untuk menegur supaya si pencuri mengaku? adakah wajar untuk memenjangkan cerita sehingga menbuat report polis? dan apa polis dapat lakukan untuk si mangsa? dapatkah si pencuri dikesan atau laporan yang dibuat hanya tinggal laporan semata? jika si mangsa benar benar orang yang tidak mampu, bagaimana untuk mendapatkan balik duit yang dicuri itu?

Terjemahan Ayat-Ayat Al-Quran

ya taibah

MY ART N DESIGN

Photobucket