Selasa, 5 Ogos 2008

SENI LAKON

1.0 PENGENALAN


Seni merupakan suatu yang fitrah dalam kehidupan manusia. Setiap insan dijadikan mempunyai fitrah yang suka kepada seni dan hiburan. Terdapat pelbagai jenis seni lakonan yang wujud pada masa kini seperti filem, drama, teater dan sebagainya.

Kertas kerja ini akan membincangkan mengenai definisi, sejarah, hukum dan tatacara, peranan lakonan dalam dakwah, lakonan dari sudut psikologi dan contoh seni lakonan pada zaman ini.


2.0 DEFINISI LAKONAN

Menurut Kamus Dewan edisi keempat mendefinisikan seni sebagai halus (kecil,elok), tipis dan halus. Seni juga diertikan sebagai karya seperti sajak, lukisan, muzik, dan lain-lain yang dicipta dengan bakat hasil daripada sesuatu ciptaan.

Kesenian pula diertikan sebagai perihal seni yang berkaitan dengan seni, keindahan atau kehalusan.

Di Malaysia, Indonesia, dan Thailand terdapat satu istilah kesenian yang di kongsi bersama tetapi membawa maksud yang berbeza. Istilah itu ialah "lakon". Di Malaysia dan Indonesia "lakon" membawa maksud cerita yang dipentaskan. Di Thailand pula istilah yang sama membawa maksud tarian. Secara amnya, dalam kebudayaan masyarakat rantau asia tenggara terdapat serangkaian bentuk seni yang melibatkan gerak geri atau perlakuan manusia yang ditonton oleh manusia lain. Didalam kamus dewan pula diertikan sebagai seni mengenai lakonan pentas (sandiwara).

Dalam bahasa inggeris rangkaian seni ini biasanya di sebut 'performing art' atau kadang kala 'theatre' dalam pengertian yang luas. Dalam bahasa Melayu kini teater dalam pengertian yang luas juga disebut 'seni lakon' dan dikira sebagai meliputi drama, muzik, dan tarian. (Fatimah Ali,1990: 2)

Seniman dan seniwati pula diertikan sebagai orang yang mempunyai bakat seni dan dapat mencipta hasil seni serta dapat memperagakan hasil seni itu, seperti pelukis, penyair, penyanyi, dan sebagainya. Juga diertikan sebagai bintang filem (lelaki dan wanita) yang telah lama melibatkan diri dalam perfileman dan telah mencapai tahap tertentu.

3.0 SEJARAH KEMUNCULAN SENI LAKON DI NEGARA ISLAM

Filem pertama kali ditemukan di barat pada peralihan abad ke-20, lalu di bawa masuk ke dunia Islam oleh keluarga kerajaan. Seperti kerajaan Uthmaniyah dan para pengimport tempatan. Pada zaman ini, filem pertama yang ditayangkan di Istana Sultan di Istanbul. Para pekerja filem Islam baru memulai penghasilan filem mereka pada 1930-an

Hingga perang dunia ke dua, jumlah penghasilan filem mereka tetap kecil. Pada tahun 1960-an, industri filem dalam dunia Islam mulai muncul, sekalipun jumlah penghasilannya masih jauh lebih kecil berbanding dengan filem yang dihasilkan oleh barat. Citra Islam dan umat Islam seringkali digambarkan negatif dalam filem barat. . (Ensiklopedia Islam untuk pelajar, 2003, hlm 49)

4.0 HUKUM SENI LAKONAN

Sesungguhnya drama sebagai hasil kesusasteraan adalah suatu kesenian. Dan apabila ia diterbitkan atau dipersembahkan jadi tontonan maka ia menjadi hiburan. Lalu sebagai suatu yang tergolong dalam kategori kesenian dan hiburan maka timbullah persoalan dari segi ugama sama ada ia diperbolehkan atau suatu yang ditegah.

Seni drama melibatkan seni penulisan dan lakonan dengan segala cabang yang menjadikannya suatu persembahan atau pertunjukan menurut medianya. Lalu ada drama pentas, drama radio, drama tv dan ada yang difilemkan.

Dengan itu ia hampir meliputi semua bidang seni dan hiburan dan melibatkan musik, nyanyian, perbauran lelaki wanita pelakon yang bukan mahram, dialog, pakaian, penampilan dan sebagainya lagi. Kesemua itu menjadikan persoalan hukum ugama sekitar bidang drama tidak sahaja menyangkut hukum-hukum mengenai cabang - cabang seni dan hiburan. Kerana itu menjadikan persoalan hukum agamanya lebih rumit.

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh al-Qardhawi, Perusahaan menerbit filem dan kerjaya berlakon adalah halal dan kadang-kadang berubah menjadi sunat demi perkembangan dunia penyiaran pada hari ini. Namun ianya hendaklah memenuhi beberapa syarat. (
http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id30.html)
Mengikut Mesyuarat Jawatankuasa Syariah yang bersidang pada hari ini 25 R’awal, 1421 bersamaan 28 Jun 2000 buat kali ke 149 telah membuat keputusan berteater adalah harus disisi Islam. (
http://mufti.perak.gov.my/fatwa/fatwa_teater.htm)

5.0 TATACARA LAKONAN

Menurut Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh al-Qardhawi, Penerbitan dan dunia lakonan yang harus hendaklah memenuhi beberapa syarat, antaranya:
· Filem dan lakonan tu mestilah bersih daripada pengaruh kegila-gilaan, fasik, atau yang menjejaskan aqeedah dan akhlaq serta syari'at Islam; apa jua filem dan lakonan yang mengajak masyarakat kepada dosa dan maksiat atau menjurus kepada kriminal atau keganasan dan kebatilan adalah haram.
· Lakonan dan perfileman itu tidak boleh berlaku percampuran bebas keterlaluan dan persentuhan antara lelaki dan wanita serta pendedahan aurat wanita dan lelaki, ini untuk menjaga fitnah dan syuhbah.
· Ia bertujuan kepentingan kesedaran kepada masyarakat (ada unsur pengajaran, iktibar dan keagamaan).
Jika ia memenuhi syarat-syarat minima itu, maka ia adalah harus dan halal (
http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id30.html)

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Perak pula, hendaklah teater itu menepatu syarat-syarat
Hendaklah teater itu bersih daripada segala macam hal yang lucah dan yang haram dan yang bertentangan dengan aqidah Islamiah, Syariatnya dan adab sosialnya.
Adapun dialog-dialog atau plot cerita yang membangkitkan hawa nafsu ataupun yang mendorong kepada perbuatan dosa yang menghasut perbuatan jenayah atau yang menggalakkan penyelewengan hidup atau yang menyebarkan aqidah yang salah dan sebagainya dari hal-hal yang diketahui ramai maka semuanya adalah haram hukumnya samada berteater atau menontonnya.
Persembahan teater itu hendaklah tiada pendedahan aurat atau pergaulan bebas lelaki dan perempuan samada pelakonnya atau penontonnya.
· Persembahan ini hendaklah tidak melalaikan daripada melaksanakan kewajipan agama dan kewajipan dunia. (
http://mufti.perak.gov.my/fatwa/fatwa_teater.htm)

6.0 PERANAN SENI LAKON DALAM MASYARAKAT

Sesungguhnya seni lakon boleh mendatangkan faedah yang banyak kepada manusia kerana ia mempunyai pengaruh yang tinggi dan kedan yang mendalam kepada masyarakat. Seni lakon boleh di manfaantkan mengikut kehendak mereka menjayakannya. Pelbagai faedah boleh di dapati sekiranya itu dijadikan matlamat kepada mereka yang terlibat dengan sesuatu bentuk seni lakon yang di hasilkan. Antara peranan dan matlamat yang boleh didapati ialah
· Pengkisahan sejarah dengan penghayatan yang tinggi kerana dipersembahkan seolah-olah sedang berlaku
· Perantaraan untuk memberikan ketenangan yang lebih jelas
· Salah satu bentuk rekreasi bagi melapangkan pemikiran dan menghiburkan untuk mengembalikan kecerdasan minda dan emosi
· Menganalisis masalah masyarakat dan mencari penyelesaian
· Membina kemampuan penonton untuk memberi kritikan dan pandangan.
· Menimbulkan kesedaran dalam diri penonton
· Perantaraan pendidikan khususnya di sekolah-sekolah
· Membantu perubahan sosial yang positif
· Menjelaskan balasan baik bagi kebaikan dan balasan buruk bagi setiap keburukan (Suhaina Haji Mat Ludin, 2006:35)

7.0 Seni Lakon: Suatu Pendekatan Psikologi Berunsur Dakwah

Banyak perkara yang tidak dapat disampaikan dengan saluran lain tetapi berjaya disampaikan melalui seni lakon. Sebagai contohnya, kesedaran masyarakat untuk meningkatkan ekonomi, pendidikan dan sebagainya termasuklah mesej yang berunsur dakwah dapat dilahirkan dalam drama.

Abd. Rahim Anbar dalam bukunya al-Masrahiah Baina al-Nazariah wa al-tatbiq menyatakan bahawa drama lebih hampir dengan kehidupan kerana drama menceritakan kehidupan dari semua bentuk seni samada yang dibaca, didengar dan dilihat. Drama mempunyai nilai estetika, bukan sahaja mempunyai nilai hiburan tetapi juga nilai pendidikan. Kesemua cerita-cerita atau kisah-kisah ini dilakonkan semula dan mempunyai kesan yang mendalam kepada penonton.

Begitu juga pengajaran-pengajaran dalam Al-Quran yang berbentuk kisah atau cerita yang mempunyai matlamat untuk menerapkan pengajarannya dengan lebih berkesan. Rasyid Reda menyatakan bahawa kisah dalam Al-Quran dapat mengerakkan pemikiran dan jiwa untuk mengambil iktibar daripadanya.

Kisah yang dibentangkan dalam Al-Quran ialah ‘Kalam Allah’ yang mengandungi peristiwa realiti masa lalu yang mengandungi petunjuk kepada kebenaran dan agama. Kisah dalam al-Quran dipenuhi dengan pengajaran dan nasihat. Ahmad Ghalwasy umpamanya menerangkan bagaimana kisah dalam Al-Quran berfungsi sebagai wasilah atau media dakwah.

1. Menanamkan motivasi ke dalam jiwa pendakwah. Kisah benar tentang peristiwa lalu bagaimana para Rasul sebelum ini berdakwah dengan tabah akan menjadi contoh kepada pendakwah. Semangat mereka untuk terus menjalankan dakwah semakin meningkat, cabaran yang dihadapi dianggap kecil berbanding cabaran yang telah dihadapi oleh para Rasul.

2. Menerangkan asas dakwah Islam ialah akidah yang benar iaitu keimanan kepada Allah, Rasul-Rasul, Malaikat, Kitab-kitab dan Hari Akhirat.


3. Menjelaskan kedudukan golongan sasaran. Kisah dalam Al-Quran menjelaskan bagaimana ragam golongan sasaran. Mereka sering memberi tentangan terhadap dakwah yang disampaikan.

4. Kepercayaan yang diwarisi dari nenek moyang menjadi penghalang dakwah. Al-Quran menerangkan kedegilan kaum kafir kerana mereka berpegang kepada adat.


Kita semua sedia maklum bahawa seni lakon bukanlah perkara yang baru dalam masyarakat kita. Perkembangan seni lakon juga turut berkembang sejajar dengan sejarah perkembangan Islam. Usaha untuk menerapkan dakwah seni lakon telah pun dilakukan lebih awal. Sejarah telah membuktikan wujudnya usaha tersebut dari sejak zaman dahulu lagi. (Suhaina Haji Mat Ludin, 2006:36)

8.0 MASYARAKAT MEMERLUKAN DRAMA BERUNSUR DAKWAH

Hiburan tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Drama adalah satu bentuk hiburan dan hidup akan menjadi hambar tanpa hiburan. Begitu juga dengan dakwah tanpa hiburan, bermakna ia gagal mencapai matlamat. Paparan imej dengan acuan kebaratan dan gaya hidup yang mementingkan kebendaan adalah antara elemen yang mendasari kebanyakan penerbitan karya-karya filem dan drama Melayu masa kini.

Apabila membicarakan tentang karya berunsur dakwah, tidak semestinya memaparkan sebuah filem dan drama yang menonjolkan bicara agama semata-mata. Perkara asas yang perlu diberi penekanan ialah unsur kemelayuan dan nilai keagamaan dalam karya tersebut.

Drama tradisional wayang kulit Wali Songo di Kepulauan Jawa pula menggunakan wayang kulit untuk berdakwah kerana ia merupakan media yang paling popular dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat. Ia bukan hanya digunakan oleh keturunan Jawa tetapi beberapa buah Negara Arab termasuk Maghribi, Tunisia dan Syria. ( Suhaina Haji Mat Ludin, 2006: 38)


9.0 BEBERAPA CONTOH DAKWAH MELALUI LAKONAN

Banyak drama Melayu yang berjaya membawa atau mengetengahkan nilai-nilai sikap, pemikiran dan perwatakan Melayu telah dihasilkan.
Contohnya?Opah (Malaysia RTM, tahun 80an) dan Drama Hikmah (Indonesia , terkini). Drama Opah bertemakan kehidupan kekeluargaan orang Melayu kampong yang terdiri dari tiga generasi.

Generasi nenek, anaknya dan cucunya. Ia diolah dengan mengetengahkan opah (dialek Melayu Perak bagi nenek) ditengah pergolakan dan suka duka keluarganya.Wataknya diserlahkan menerusi falsafah dan kebijaksanaannya. Interaksi tiga generasi dalam jalan ceritanya memperlihatkan nilai-nilai Melayu - sikap, pemikiran dan perwatakan yang kental dengan pegangan budaya Melayu yang Islami.

Drama Hikmah juga bertemakan kehidupan keluarga. Bezanya ia memaparkan keluarga kaya dalam masyarakat kota di Jakarta. Penerbitan drama itu mengambil sempena siaran dalam bulan Ramadhan lalu jalan ceritanya dijalin-olah dengan berlatar-belakangkan?ibadat puasa dan amalan-amalan keugamaan lainnya. Suka duka yang ditempuh oleh watak-watak pendukung drama itu dalam kehidupan biasa mereka turut mengajak penonton beremosi sedih, riang, benci, sayang, sesal, insaf dan lainnya.

Di akhir setiap siri siarannya penonton diajak meyakini betapa indah dan manisnya iman kepada Allah Subhanahu Wataala. Tentu sahaja drama yang diperkirakan sangat ramai peminat dan penontonnya itu telah berjaya membawakan nilai murni dan kebaikan yang bersendikan sikap, pemikiran dan perwatakan Islami yang mendasari nilai budaya Melayu. (
http://religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_bersama_timbmenteri&pg=bm_timbmenteri_ucapan&ac=212&lang=en)

Pada tahun 1956, P.Ramlee telah mengarahkan filemnya iaitu Semerah Padi. Filem ini penuh dengan unsur budaya dan agama. Di dalam cerita ini hukum-hukum hudud di jalankan sepenuhnya di tempat tersebut. Di dalam cerita tersebut . (Ensiklopedia Islam untuk pelajar, 2003, hlm 49)

Filem syukur 21 pula dapat dijadikan contoh kepada pengarah-pengarah filem yang lain bagi menghasilkan filem yang berunsur islam. Calan cerita yang menarik dan pelaksanaan yang betul dapat di tonjolkan dalam filem ini.


10.0 KESIMPULAN

Menerusi kertas kerja dapatlah dijelaskan serba sedikit tentang kesenian dalam islam dari segi keperluan seni lakon, peranan seni lakon dan sebagainya. Melalui kertas kerja ini juga kita dapat menerangkan hukum seni lakonan ini dan seharusnya dipatuhi berdasarkan tatacara-tatacara yang telah di gariskan. Mungkin pada hari ini artis-artis negara ini mempunyai salah anggap tentang hukum-hukum islam dan pelaksaannya. Kita seharusnya menerangkan kepada mereka pelaksanaan yang sebenarnya.


11.0 RUJUKAN


Suhaina Hj Mat Ludin, Razaleigh Muhamat @ Kawangit & Anisah Bahyah. 2006.
Seni membentuk nilai murni. Prosiding Seminar Serantau Dakwah Dan
Kesenian 2006. Selangor

Yayasan Dakwah Islamiah. 2003. Ensiklopedia Islam untuk Pelajar. Kuala Lumpur

http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id30.html

http://mufti.perak.gov.my/fatwa/fatwa_teater.htm

(
http://religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_bersama_timbmenteri&pg=bm_timbmenteri_ucapan&ac=212&lang=en


Tiada ulasan:

Terjemahan Ayat-Ayat Al-Quran

ya taibah

MY ART N DESIGN

Photobucket